03 Jun 2010

Seindah Dulu

Aku suka perasaan ketika di sekolah. Hening, ketika petang menyinsing, akan terasa damainya ketika senja menyapa.

Nurul Aiman. Sedap namanya, apatah lagi akhlaknya. Gadis yang sering aku kagumi dan pandang tinggi. Bukan gadis, muslimah sebetulnya. Aku selalu memerhati sikap dan perwatakan yang ada pada dirinya, dari jauh sudut di hati. Sikapnya yang tenang, tapi tegas dan berhikmah terhadap lelaki.

Wajahnya ayu lembut bertudung labuh menyentuh, menyerlah iman di dada. Sopan, terlalu sopan. Malah, tenang. Melihatnya kadang membuatkan aku terasa suka. Dalam hati, aku selalu menyimpan seribu perasaan.

Di hujung waktu persekolahan, aku beranikan diri. Aku tinggalkan secebis pesanan. Memercikkan warna perasaan bersama segunung harapan.

Balasnya,

"Majdi, cinta itu ungkapan yang penuh hikmah. Alangkah ruginya jika ia hanya layu di janji lemah. InsyaAllah, janji Allah senantiasa untukmu. Berharaplah, berdoalah.

Yang solehah itu untuk yang soleh.

Bersabarlah, tahan atas semua yang berpura-pura. Atas semua yang sementara. Jika itu yang terbaik, maka Allah akan bantu. Sampai sini, tinggalkan semua yang tak perlu. Terus, terus kejar demi yang satu. InsyaAllah, sampai jumpa lagi ya."

Hingga satu saat, yang pasti akan sentiasa aku ingat. Waktu anugerah Allah diberi untuk dapat aku bertemu. Tanpa sengaja, tanpa diduga. Bersama temannya. Dia membicara perlahan.

"Majdi, insyaAllah. Nurul akan ke Amerika. Mengambil bidang ekonomi di sana. InsyaAllah, mengembangkan islam di sana. Doakanlah ya." Dia menutur perlahan.

"Kenapa Amerika? Kenapa tidak belajar sahaja di Timur Tengah? Atau berbakti mengkaji di bumi kita sendiri. Bukankah Amerika itu tempatnya, kata mereka seakan neraka? Kenapa perlu menyinggah di sana?" Aku tertanya, hairan menerpa. Ingin tahu, amat ingin tahu.

Dia tersenyum.

"Tak mengapa. Di sana, ilmunya banyak. Di sana ilmunya hebat. Biarlah. InsyaAllah. Iman, Nurul akan cuba menjaga sebaiknya."

Waktu itu yang memang akan aku ingat. Sampai bila-bila.
*****************

Petang itu damai. Sedamai bunga yang asyik melambai. Sehingga aku kadang-kadang lalai melihat. Sungguh, Allah Maha Hebat.

Aku baru selesai membaca al-mathurat bersama rakan sepejabatku, Rahman di surau office. Dialah rakan seusrahku, dan dialah sahabat baikku. Alhamdulillah, bersamanya aku mudah untuk terus istiqamah membaca al-mathurat setiap hari.

"Majdi, jom makan!" Rahman mengajak.

"Isk, kamu ni. Asyik makan saja.." Aku menyakat. Ketawa sambil membetulkan blazer hitamku yang sedikit terkeluar. Blazer itu aku gandingkan dengan kopiah hitamku yang selalu aku pakai, sengaja cuba menampilkan imej muslim profesional.

"Haha. Nak buat macamana? Kan perlukan tenaga juga nanti nak buat kerja." Katanya sambil ketawa kecil.

Aku ketawa. Sudah sampai di sini rupanya perjalanan hidupku. Dari bertatih, hingga kini, di alam pekerjaan yang menuntutku berusaha gigih. Tak mengapa, umurku masih terlalu muda, kata orang, masih segak bila dipandang mata. Jika tidak kata orang, aku yang berkata begitu.

Village Muslim Cafe menjadi pilihan. Kopinya di situ memang enak. Terlalu enak malahan aku selalu terbuai, didodoi haruman baunya.

Aku melamunkan fikiran, berfikir tentang pelbagai perkara. Masa dulu, dan masa akan datang. Malah tanggungjawab yang semakin menebal. Biarlah, aku bahagia dengan semua ni. Cuma, kadang-kadang aku teringatkan sesuatu. Seseorang.

"Majdi.."

Sebuah suara yang amat ku kenal.

Amat-amat ku kenal.

Aku berpaling.

Tersenyum. Berdiri seorang wanita. Ayu, lembut perwatakannya. Dengan baju yang seakan gaun putih yang kembang di bawahnya, serta lipatan kain yang membentuk bunga yang amat kemas hingga ke hujung lengan, dia benar-benar kelihatan anggun bersama pakaian begitu.

Pakaian yang seakan-akan buatan Inggeris. Di tangannya tersemat beg bimbit berbunga merah berjalur putih krim, dia memegangnya dengan tangan ke hadapan.

Rambut lurusnya lembut menutupi telinga dan sebahagian muka. Kadang-kadang ditarik sedikit ke telinga saat disapa dan dibelai angin. Ayu.

Dia tersenyum manis. Amat manis.

Aku mengamati.

Dan rasa terus menerpa, meresap menjadi sendu.

Seakan tak percaya.

"Nurul.. Nurul Aiman..?"

"Ya, saya..." Dia membalas lembut.

Nurul tersenyum. Senyumannya bergula. Sama macam senyuman dia waktu aku kenal dahulu, sewaktu dia di sekolah 8 tahun lepas. Tapi kali ni lain. Senyuman dia berteman, ditemani dengan mahkota lurus rambutnya yang dirapikan. Seakan watak Apple dalam cerita 'Le Gardenie' yang pernah aku baca.

Aku berdiri, bangun dan menghadapnya, meraikan seorang yang sudah amat lama aku tidak jumpa. Sudah 8 tahun. Yang amat aku rindu sebenarnya.

Masing-masing terdiam.

"Ermm.. Awak apa khabar?" Nurul membuka bicara. Membuka ruang mesra.

"Err.. Alhamdulillah, saya baik. Awak?"

"Baik, Sihat alhamdulillah. Lama tak jumpa kan? Saya baru sampai ke Malaysia semalam.."

"Erm.." Aku mengangguk, tersenyum leret sedikit.

Terdiam lagi. Masing-masing kembali melayan perasaan. Aku pun tak tahu apa perasaan aku sebenarnya saat ini. Aku gembira sangat bila dapat bertemu, tapi aku juga seperti mahu mengalirkan air mata. Aku seperti terbayang wajahnya yang dahulu, dan dia yang di depan aku sekarang.

Nurul melihat jamnya.

"Majdi, saya minta diri dulu ya. Ada yang perlu diuruskan.." Dia berkata perlahan sambil menunduk, mengambil secebis kertas dan pen.

Menarik kembali rambut yang jatuh tersusun ke telinga.

"Ambil ni. Kita jumpa ya?" Dia menghulurkan.

"Minta diri, assalamu'alaikum..." Nurul menghadiahkan senyuman harapan, dan berpaling pergi.

"Restoran Zahrah

0.900 pm "

Aku melihatnya pergi. Berjalan penuh sopan dan berhati-hati. Aku terasa seperti mahu menghalangi waktu dari terus berjalan.

"Majdi?" Rahman memanggil, mematikan lamunan.

"Siapa tadi?"

"Owh, tak ada siapalah. Kawan lama je.. Nanti aku cerita ya.." Aku membalas, kemudian menghirup nafas dalam-dalam. Amat dalam.

Nurul Aiman...

Pen Parker berwarna silver itu dipusing-pusingkan di atas buku kerja hitamnya. Membentuk alur tulisan yang kadang dia sendiri tak faham. Entah apa yang dituliskan, Majdi pun tak tahu.

Dia sekarang berada di pantai Teluk Cempedak. Duduk melayan perasaan di atas kerusi kayu yang disediakan, di bawah pokok ru yang melindungi lembut. Menghadap laut yang berombak damai.

Majdi duduk termenung. Dia seakan ingin menangis, terlalu sebak dan sedih hatinya. Dia masih teringat Nurul yang satu ketika dahulu sopan manis dalam tudung labuhnya, langsung berubah kepada yang kini tetap anggun dan sopan, tapi dalam keadaan yang amat berbeza.

Dia masih tergamam, terkedu dengan apa yang berlaku hari ini. Hati nuraninya benar-benar sedih.

"Apakah yang menyebabkan dia berubah? Apakah pendirian dia yang dulu, aku amat kagum, sudah benar-benar bertukar..?" Fikirnya dalam hati.

Dia diam. Sengaja biarkan angin menderu, sekurang-kurangnya menghiburkan apa yang ada di jiwa.

"Kadang-kadang tak semua perkara yang kita suka, kita akan dapat Majdi.. " Rahman menyentuh bahunya perlahan, tersenyum.

Majdi mendongak.

"Rahman.." Majdi tersenyum. Rahman selalu begitu, hadir ketika sahabatnya berduka.

"Kerana itu kita tak boleh melepaskan ikatan kita bersama jemaah, bersama rakan-rakan, bersama ukhuwwah, bersama iman. Kadang-kadang, kita rasa diri kita kuat. Mampu untuk berdiri dengan sendiri. Tapi bila berseorangan, kita tak pernah mampu sebenarnya.."

Majdi tahu, Rahman merujuk kepada apa yang berlaku pada Nurul Aiman.

"Tapi, tak semestinya kita perlu berubah kan?" Majdi bertanya. Bertanya dalam hampa sebenarnya.

"Tak apa, bertanyalah, orang seperti mereka selalu rasa tak difahami. Dan kita selalunya tak mengetahui apa yang berlaku.. moga kita tak tak diuji seperti mereka.."

"Allah.. Tak pernah menguji hambaNya.. Melainkan mereka benar-benar mampu. Untuk kamu, dia, dan aku juga.." Perlahan Rahman mengulas lembut, memberikan satu keyakinan.

"Ya.." Majdi mengangguk faham, kemudian mengukir senyum perlahan. Dan malam ini, dia akan cuba sampaikan. Dari hatinya.
*********

Restoran Zahrah. Restoran tepi laut yang amat terkenal di Pahang. Bukan sahaja masakannya yang enak, malah susunan dan rekaan dalaman yang berjaya didekorasikan dengan amat baik sekali.

Meja-meja berwarna coklat keperangan di dalam restoran itu dihiaskan lagi dengan bekas kaca yang diletakkan di atasnya. Di dalam bekas kaca itu, terdapat coklat Forrero Rocher yang amat terkenal. Menambahkan lagi suasana dan rasa yang sedia ada.

Dan di hujung penjuru, kelihatan seorang wanita duduk menunggu. Dia mengenakan kemeja putih berlengan panjang berjenama Vincci, berlipat bunga di bahu dan leher. Dipadankan dengan skirt labuh hitam hingga ke bawah kaki. Wajahnya redup ditiup angin laut yang lalu dari tingkap yang sengaja dibuka.

Majdi masuk. Mencari-cari wajah yang dinantikannya. Nurul mengangkat tangannya yang gemalai, melambai perlahan.

"Silalah.." Nurul mempelawa mesra. Di sebelahnya di temani kakaknya. Juga berwajah hampir sepertinya, cuma kening lebih kecil dan dagu yang lebih runcing. Bertudung dan mengenakan kebaya berwarna krim cair.

Aku duduk, menghadap Nurul. Juga di sebelah tingkap yang terbuka. Di kejauhan, kelihatan bot-bot nelayan dan kapal-kapal yang berlabuh di perlabuhan.

"Erm, akak pergi ambil angin di luar kejap ya.." Kakaknya bangun, menunduk meminta diri dan berjalan keluar.

Masing-masing diam.

"Dah lama kita tak jumpa kan? Dah 8 tahun? Macamana kehidupan awak? Ok?.." Dia membuka perbualan sambil tersenyum.

"Alhamdulillah, beginilah.. Banyak benda yang dah berubah kan?"

Dia tertawa kecil.

" Everything is changed Majdi.."

"Tapi.."

"Tapi? "

"Tapi awak berubah terlalu banyak Nurul.."

"Erm.."

Nurul diam. Memalingkan wajah ke tingkap, melemparkan pandangan jauh ke laut. Amat jauh.
*********

"What are you doing with your frankly veil in this 'cold' class Nurul?"

Hahahaha!

Bederai satu kelas ketawa. Wajah Nurul menjadi merah menahan malu. Malu yang amat. Dan itulah dia di hari pertama kuliahnya di Universiti Califonia, Amerika Syarikat.

Begitu juga hari-hari berikutnya. Dia rasa semakin dipulaukan. Hanya kerana tudung yang dipakai. Pernah, dia cuba mencari teman meluahkan perasaan. Tapi apalah sangat yang dapat diluahkan jika semua kawan sepengajiannya dari Malaysia tidak ada yang bertudung.

"Ala, kau buka je lah. Mesti diorang senyap.."

"Erm, kau pun cantik. Kalau tak pakai tudung mesti lagi cantik.."

"Kita kat negara orang, bukan di Malaysia lagi.. Kena ikut cara orang lah.."

Dia menangis. Terasa berat keadaan yang menekan. Dengan kehidupan, dan perasaan yang tidak stabil. Pelajaran juga entah ke mana. Dia terngiang-ngiang kata-kata sahabatnya dulu.

"Kenapa Amerika? Kenapa tidak belajar sahaja di Timur Tengah? Atau berbakti mengkaji di bumi kita sendiri. Bukankah Amerika itu tempatnya, kata mereka seakan neraka? Kenapa perlu menyinggah di sana?"

Dia seakan-akan masih terdengar persoalan itu di benaknya.Pernah dia berhasrat untuk berpindah universiti. Tapi mengenangkan ibu bapanya yang bersusah payah semasa dia memohon ke sini, dia cuba menabahkan diri.

Sendiri. Terasing.

Hingga satu hari, pernah dia berjumpa dengan seorang pensyarah di situ. Dengan tujuan ingin membuat rundingan atas subjek yang amat kurang difahaminya.

Tanpa memandang wajahnya, lecturernya berkata. Kasar.

"As long as you still with your veil.. I don't wanna speak with u.."

Nurul terkedu. Tak sangka hingga tahap ini dia diperlakukan. Tak tahu apa yang dibenci sangat hingga jadi diskriminasi sebegini.

Dia jadi lemah. Dia seakan sudah hilang arah. Dia menangis semahu-mahunya. Dia benar-benar tertekan.

Amat-amat tertekan.

Dan esoknya..

Hadir seorang wanita, berambut lurus dan tersisir kemas. Memasuki kelas sambil melangkah malu..
***********

"Kembalilah kepada Nurul yang pernah saya kenal dahulu.."

Nurul berpaling, tersenyum lesu, memandang aku dalam-dalam, penuh makna.

"Ia tak semudah yang difikirkan Majdi.."

"Seandainya, saya dapat memutar masa kembali..."

Nurul mengeluh lesu.

"Awak masih ada masa, Nurul.." Aku tersenyum.

"Awak tahu Nurul. Wanita, ibarat coklat."

Majdi mengambil Ferrero Rocher di dalam bekas kaca di atas meja. Mengambil dua. Membuka satu. Plastik kuning keemasannya di buka sebaiknya.

"Coklat?"

"Ya, coklat. Coklat yang disimpan rapi. Terjaga. Yang senantiasa indah dan cantik dalam balutannya. Campaklah walau ia di manapun. Dan pasti, semua orang mengagumi dan menginginkannya..."

Majdi kemudiannya menjatuhkan keduanya ke lantai.

"Semakin ia berbalut, semakin ia terjaga. Dan seandainya diberi pilihan antara coklat yang sedia berbalut dengan coklat yang terbuka dan terjatuh. Pasti orang akan memilih.."

"Pasti orang memilih yang berbalut kan? Kerana yang terbuka itu sudah dicemari, sudah kotor, sudah tak berharga. Kan?" Nurul menjawab. Terus menunduk.

Riak wajahnya bertukar mendung.

"Dan saya adalah coklat yang kotor itu.." Wajahnya hampir menangis.

Aku tersenyum.

"Ya, mungkin orang akan pilih yang berbalut."

Aku kemudiannya mengambil coklat yang jatuh lalu kuletakkan di atas meja.

Aku tersenyum lagi.

"Tapi saya lain. Saya akan mengambil coklat yang lagi satu. Saya akan ambil dan saya akan basuh balik sebersih-bersihnya. Saya akan balut semula sekemas dan secantiknya. Dan selagi masih hidup, selagi punya masa. Saya akan menjaganya sebaik-baiknya sampai bila-bila.."

Nurul mengangkat kepala. Seakan tidak percaya.

Dan air mata pun mengalir..

10 HADIAH UTAMA YANG SERING DILUPAI


1. Hadiah Mendengar: Berikan hadiah ini kepada yang memerlukan, dan kamu hendaklah benar-benar mendengar apa yang dikatakan. Jangan mencelah, jangan berangan-angan dan jangan merancang bagaimana kamu hendak membalas.
2. Hadiah Tanda Kasih: Jangan kedekut memberikan pelukan, ciuman dan ramasan tangan. Biarkan tanda-tanda kecil ini tunjukkan kasih dan sayang yang ada di dalam diri kamu.
3. Hadiah Sehelai Nota: Ia mungkin ringkas seperti “Sayang Awak” atau sesuatu yang kreatif seperti sebuah puisi. Letakkan nota-nota ini di tempat yang tidak disangka oleh orang yang dikasihi.
4. Hadiah Ketawa: Berikan sesuatu yang melucukan seperti gambar kartun atau artikel. Mesejnya ialah, “Saya suka ketawa bersama awak.”
5. Hadiah Puji-Pujian: Sesuatu yang simple seperti “Warna biru memang ngam dengan awak” atau “Sedap masakan awak” mempunyai nilai yang tinggi kepada orang yang mungkin merasa dia
6. Hadiah Bantuan: Tolong basuh pinggan mangkuk, buang sampah, jaga anak, dll.
7. Hadiah Bersendirian: Adaketika kita hanya mahu bersendiri. Peka kepada saat-saat itu dan berilah masa dan ruang untuk dia bersendiri.
8. Hadiah Keceriaan: Cubasedaya upaya supaya kita sentiasa ceria apabila bersama orang-orang yang dikasihi.
9. Hadiah Riadah: Sertai sesuatu sukan/aktiviti yang disukai oleh orang yang dikasihi. Kalah pun tak apa, kamu masih menang.
10. Hadiah Doa: Selalu berdoa untuk kesejahteraan orang-orang yang dikasihi dan beritahu mereka yang mereka setiasa berada di dalam doa kita.

01 Jun 2010

jom bce sesme

Saban hari permasalahan sosial sekarang seperti isu buang bayi, pelacuran, bohsia dan sebagainya semakin meruncing. Masyarakat terus menyalahkan pihak wanita yang kononnya lemah, mudah terpedaya dan sebagainya. Namun, kita sering melupakan bahawa isu ini bukan hanya berpunca dari satu pihak sahaja. 'Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi'. Kita alpa bahawa kelahiran yang sepatutnya suci murni itu turut dicemarkan oleh "ayah" yang tidak bertanggungjawab. Maka, seeloknya kita merenung kembali peranan lelaki terhadap wanita seperti yang dianjurkan oleh Allah dalam Al-Quran:

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka..." (al-Nisa', 4:34)

Jika kita sama-sama hayati ayat ini, terdetikkah di hati kita betapa besar dan beratnya amanah yang telah Allah berikan kepada kaum lelaki untuk menjadi pemimpin pada wanita. Betapa Allah telah memberi kepercayaan pada lelaki untuk memikul amanah itu kerana beberapa kelebihan yang Allah berikan pada lelaki dan tidak ada pada wanita.

Namun, hari ini, adakah lelaki telah berperanan sebagai pemimpin dan adakah wanita juga telah menjalankan peranan sebagai orang yang dipimpin? Ayuh kita muhasabah diri!




Lelaki itu sepatutnya pemimpin, bukan diktator!

Allah telah memuliakan lelaki sebagai pemimpin kepada wanita. Islam telah meletakkan garis panduan yang lengkap seharusnya bagaimana peranan pemimpin yang dimainkan oleh lelaki. Peranan lelaki sebagai suami, ayah, abang dan anak itu adalah sebagai pelindung kepada wanita-wanita di bawah tanggungjawabnya. Antara peranan lelaki dalam melindungi wanita dan keluarganya adalah:

  • Memastikan prinsip Islam terlaksana dalam keluarga.
  • Menjadi teladan yang baik.
  • Memastikan komunikasi yang baik dalam keluarga.
  • Memastikan keluarga terhindar dari azab neraka.

"Hai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.."
(At-Tahrim, 66:6)

Wahai lelaki, jika anda tahu betapa pentingnya peranan anda dalam kehidupan wanita, pasti anda sebagai lelaki tidak akan sanggup membiarkan kekasih-kekasih anda membuang 'benih' yang telah anda semai. Pasti anda tidak sanggup membiarkan ibu anda meniti hari-hari tua tanpa kasih sayang dari anda, dan pasti jua anda tidak tegar untuk menjadi dayus dengan membiarkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan anda dipukul, dan dibiarkan tanpa pembelaan dan nafkah.

Namun, bagaimana seharusnya lelaki sebagai pemimpin, adakah umpama diktator yang hanya memberi arahan? Tidak sama sekali! Islam tidak pernah memuliakan lelaki sebagai pemimpin dengan tujuan supaya ia dapat menindas kaum perempuan. Malah Islam telah menganjurkan lelaki supaya berlemah lembut dengan wanita.

Misalnya, suami diangkat sebagai ketua keluarga, namun Islam tidak menidakkan hak isteri untuk berbincang dan memberi idea atau pendapatnya. Islam meletakkan hak pada suami untuk memukul isteri, namun ia adalah jalan terakhir dan dilakukan dengan penuh hikmah. Bahkan Rasulullah sendiri menganjurkan supaya berbuat baik dengan isteri.

Sesungguhnya, wanita itu satu amanah dari Allah, maka lindungilah ia kerana ia jua sebahagian dari lelaki.

"Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak" (Surah Al- A'raf:189)





Wahai wanita, binalah perisai pelindung dirimu!

Hakikatnya, kita mengakui bahawa wanita dan lelaki itu saling melengkapi. Jika lelaki itu memang menjadi pelindung, namun apakah kita sebagai wanita sendiri hanya bergantung pada pelindung itu tanpa mahu berusaha membina perisai pelindung diri sendiri?

Hakikatnya, perlu ada gabungan lelaki yang menjadi pelindung dan jua wanita yang utuh menghijab diri untuk melindungi dirinya. 'It takes two to tango'. Salah menyalahkan tidak akan menyelesaikan isu gejala sosial pada hari ini, malah akan menyebabkan kita hilang fokus untuk menyelesaikan masalah itu.

Lalu, bagaimana untuk wanita membina perisai pelindung?

Pertama sekali, berani untuk katakan "TIDAK" pada mana-mana lelaki yang mempergunakan, memperalatkan wanita untuk mencapai apa yang mereka ingini. Bentengkan diri kita dengan hijab kerana wanita itu umpama permata yang menjadi rebutan setiap kaum adam. Biar kita tak 'glamour' dek nama yang sentiasa meniti di bibir lelaki kerana keseksian kita, tapi akhirnya menjadi mangsa mereka. Biar kita dikatakan kolot sebab tidak bergaul dengan lelaki, tapi yang penting kita pertahankan maruah kita.

Kedua, jangan biarkan diri ditindas lelaki yang durjana! Lembut biar bertempat, malu biar kena gayanya. Bersuara bila perlu, bangkit bila hak kita dan maruah kita dicabul. Islam tidak pernah menafikan hak dan kepentingan wanita, malah membela wanita dan menyanjung tinggi wanita.

Ketiga, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin. Dengan ilmu nasib terbela. Dengan ilmu, kita tahu mana hak-hak kita bila kita tertindas. Jangan tewas pada orang yang sewenang-wenangnya menggunakan nama agama untuk menafikan hak wanita, sedangkan Islam itu sendiri memberikan hak yang seadil-adilnya kepada wanita sebagai isteri, ibu dan anak.





Wahai Adam,

Sedarlah dirimu itu pemimpin. Maka persiapkanlah dirimu itu selayaknya untuk memegang amanah Allah itu.

Wahai wanita,

Ketahuilah, dirimu disanjung dan dimuliakan oleh Allah. Letakkanlah dirimu selayaknya supaya maruah dan kemuliaanmu tidak tercemar. Dirimu begitu berharga, jika Adam itu sudah tidak mampu menjadi pelindungmu, maka binalah perisai pelindung dirimu.


halwa mata


Terkadang hati ini tertanya-tanya....kenapa masih perlu menunggu sedangkan aku tahu, aku telahpun menemui mujahidku… diri ini terlalu yakin, dialah jawapan doa hari2 ku… “Ya Allah, kurniakanlah kepada ku hamba Mu yg soleh sebagai suami, agar dia dapat membimbingku menuju syurgaMu…” Resah gelisah hati menunggu…mengira setiap detik dan waktu… impian itu menjadi kenyataan… bersama-sama si mujahid… menemaninya dalam perjuangannya… eh?? perjuangan??

Ya Allah…aku lupa lg… seorang mujahid, tujuannya satu… berjuang malah berkorban utk menegakkan Deen-ul-haqq… walau telah bergelar suami, perjuangan tetap berjalan.. pengorbanan tetap diteruskan!! Malah itu juga seharusnya menjadi perjuangan aku juga bukan?.. Allah tidak menjadikan bagi seseorang dua hati dalam rongganya….” [33:4] Hati si mujahid telahpun sarat dgn cinta kepada Rabbnya.. yg menjadi pendorong kepada perjuangannya.. (begitulah harapnya) .. mana mungkin pada masa yg sama, si mujahid menyintai ku (setelah bergelar isteri) dengan sepenuh hatinya? Walaupun setelah ku curahkan selautan sayang.. ku legakn penat lelah perjuangannya dengan gurauan manja.. ku cukupkan makan pakainya….si mujahid masih tidak boleh leka dr perjuangannya!!
Ya Allah, aku kah yang akan menjadi fitnah yang melekakannya dari perjuangannya yg dulu cukup ikhlas hanya untuk Rabbnya???..... “Katakanlah, “ Jika bapak-bapakmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, ISTERI-ISTERImu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuwatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusanNya” dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”…..[9:24]

Oh tidak!! Aku tidak mahu menjadi penyebab si mujahid leka akan tanggungjawabnya yang lebih besar…tanggungjawabnya utk Ad-Deen ini…. Tapi sanggupkah??...sanggupkah diri ini hanya memperoleh secebis hati si mujahid yg telah sarat dgn cintanya kepada yg lebih berhak?? Sanggupkah diri ini sering ditinggalkn tatkala si mujahid perlu ke medan juang?? Malah sanggupkah diri ini melepaskn si mujahid pergi sedangkn hati ini tahu si mujahid yg teramat di cintai mungkin akan keguguran di medan juang??..sanggupkah??? Ya Allah... Layakkah diri ini menginginkan suami semulia Rasulullah s.a.w?? sedangkn diri ini tidak sehebat Khadijah mahupun Aisyah... Lihat sahaja isteri-isteri Nabi... Ummul-muslimin...Ummi-ummi kita...lihat saja perjuangan dan pengorbanan mereka... lihat sahaja ketabahan hati mereka... sehinggakn setelah diberi pilihan antara cinta duniawi dan cinta mereka terhadap Allah dan Rasul... Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu “Jika kamu menginginkan kehidupan di dunia dan perhiasannya, maka kemarilah agar kuberikan kepadamu mut’ah dan ku ceraikan kamu dengan cara yang baik“ [33:28]

Allah dan Rasul tetap menjadi pilihan! Mampukah aku menjadi seperti mereka?? Mampukah aku membuat pilihan yang sama kelak, setelah mabuk di lautan cinta kehidupan berumah tangga?? Mampukah aku mengingatkn si mujahid tatkala dia terlupa dan terleka dari cintanya dan tugasnya demi Rabbnya?? Atau aku juga akan turut hanyut malah lebih melemaskn lagi si mujahid dengan cinta duniawi?? Ah sudah wahai hati, hentikan saja angan-anganmu, hentikan saja kiraan waktumu.... Masanya belum tiba utuk kau memiliki si mujahid, kerana kau sendiri belum lagi menjadi seorang mujahidah yang sebenar!!

The image “http://www.tlcwillard.org/images/patience.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

untuk titipan sahabatku


Usia tahun ini sudah mencecah 15, 18, 20, atau 25 tahun. Usia remaja setahun jagung ini menandakan tempoh permulaan buat semua pejuang-pejuang agama bagi mematangkan fikiran supaya Islam tidak layak dipijak dan dihina oleh Yahudi dan Nasrani.Takbir ! Maka, tibalah tahap yang amat mencabar, di mana di sinilah permulaannya, iman kita akan dibentuk dengan akidah dan akhlak digauli dengan ramuan ibadah beserta bi'ah yang solehah.

Wahai remaja ,
bukan ini masanya untuk kita mencari teman hidup yang difikirkan sesuai.Asyik diifikirkan, difikirkan dan difikirkan lagi. Waktu ini syaitan dan iblis menyolek muka dan mata kita supaya tertarik kepada anugerah kecantikan dan kecomelan makhluk ciptaan Tuhan. Masa ini nafsu menyuruh kita supaya melakukan sesuatu perkara yang membolehkan kita mendapat perhatian dan pujian.Terampil mengoda bergaya!

Sedang Yusuf yang digoda oleh Zulaikha yang menggoda pun tidak langsung tertarik hatinya untuk melakukan zina. Inikan kita yang bertaraf hamba yang hina. Rata-rata melakukan ibadah untuk mengharapkan pujian dan perhatian, mahu dianggap baik, sopan dan soleh, bukan mengharapkan pahala dan perhatian Tuhan. Rata-rata melakukan kebaikan supaya dipandang bagus bukannya mencari redha Allah. Syaitan dan Nafsu bergembira atas tindakan kita yang mengacau puteri-puteri islam yang manis dan mengurat putera-putera islam yang segak. Syaitan dan Nafsu juga tentu sedang bergembira atas kejayaan mereka menyelimuti kita supaya tidak bangun menunaikan solat Subuh berjemaah apatahlag bangun bertahajud di hamparan sejadah Qiamulail. Syaitan dan Nafsu juga amat gembira apabila melihat Rumah Allah dibunyikan di dalamnya rancak nada dering telefon bimbit, umpatan-umpatan serta perkataan-perkataan komunikasi yang merugikan masa dan membuang erti kata sebenar iktikaf .

Wahai remaja ,
kita mesti menyedari bahawasanya kita sebenarnya sedang menempuh lautan yang berombak dan bergelora saat ini. Sudah tiba masanya untuk menaikkan layar supaya kita tidak tenggelam hanyut dibawa oleh fitnah dunia. Sudah tiba masanya untuk berlayar lebih jauh dengan kapal TAKWA dan layar IMAN untuk mencari pelabuhan REDHA (Mardhatillah). Sudah tiba masanya merebut dan menjala ikan-ikan PAHALA bukannya merelakan diri ditelan dengan jerung DOSA dan badai NERAKA. Sedarkah kita ?

Adakah 'buaya-friend' dan 'gila-friend' wajib menjadi sesuatu yang dominan dalam kehidupan setiap yang bergelar remaja ? Bagaimana dengan status remaja islam ? Sememangnya wajib memilikinya seorang sat atau maksimun 4 atau bersilih ganti ? atau status mencari pengalaman di alam remaja ? Jawapannya sudah tentu sekali TIDAK !

Mengapa ? Salahkah bercinta ? Cuma setakat hendak berkenalan dengan lebih intim ? Bukannya sampai berpegangan tangan ataupun bercium-ciuman pun ? Kita dah besarlah, bukan budak-budak , semuanya BOLEH ! Bukan begitu wahai remaja,
Islam tidak menghalang benih-benih cinta ditanam di setiap hati insan bergelar muslim. Namun sekarang kita adalah MASIH REMAJA. Amanah yang diberikan bukannya disuruh menghampiri zina. Tetapi berusaha, belajar, berdakwah dan beribadah sehingga berjaya. Fokus matlamat kehidupan sebenar di alam akhirat nanti. Kenapa mengizinkan diri terus hanyut dalam noda dunia yang penuh sengketa dan pura-pura ?

Masanya sudah tiba, ayuh kita bangkit wahai remaja-remaja islam, kita berjuang sehingga Masjidil Aqsa dibebaskan. Kita berjuang sehingga fitnah Dajjal dapat kita tewaskan. Kita memerdekakan jiwa kita yang dibelenggu musuh nyata. Kita melawan hawa nafsu dengan penuh kesabaran, hingga dapat menjadi penghuni syurga yang penuh dengan kenikmatan. Janji Allah itu pasti ! Bukannya kita perlu mencari publisiti murahan. Dengan mengacau dan mengorat makhluk comel dan kacak ciptaan Tuhan. Menjaja perasaan indah gelora Uda dan Dara. Bukannya dengan meninggalkan sunnah yang nabi wariskan. Bukan dengan membiarkan alasan murahan terus menghasut ; diri masih belum dapat hidayah, diri tidak bersedia ataupun sebenarnya diri MALAS melakukannya. Bukan dengan mengambil remeh dan memandang enteng kepada ibadat dan amalan yang dilakukan. Bukan dengan meninggalkan Al-Quran, Kitab suci yang dipelihara kesucian zaman-berzaman.Acuh tidak acuh mentaati Tuhan ? Macamlah yakin dan pasti sangat dapat ke syurga seperti Saidina Uthman bin Affan !

Wahai remaja,
kita seringkali mengeluh dan marah apabila kita diaibkan di khalayak ramai. Tidakkah kita terfikir, kita sedang dan akan malu mengaibkan diri sendiri di depan Allah dan di tepi malaikat. Ayuh celiklah, sedarlah dan bangunlah memperjuangkan Islam. Teruskan perjuangan sehingga nyawa bercerai dengan badan. Carilah ilmu dan perangi godaan hawa nafsu.
Kata mahu Islam maju tetapi masih malas baca buku !

Wahai remaja,
Ini bukan hanya peringatan. Ambil jadikan pedoman. Jadilah remaja cemerlang yang beriman. Bukan sampah masyarakat yang tidur di laluan najis buangan.
Ayuh berjuang demi maruah remaja ISLAM dan generasi MUSLIM sedunia !

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam,supaya kamu jangan menyembah Syaitan! Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu.Dan(Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka)maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf ? "  Yaasin : 60-62

Followers