20 Mei 2010

Teringat Zaman Sekolah Menengah


Assalaamualaikum. Entahlah kenapa tiba-tiba rasa nak berkongsi dengan apa telah aku baca di blog Ust. Hasrizal ni. Rasa terpukul pun ada, terkenang zaman di asrama suatu ketika dahulu. Ia menyedarkan aku tentang tanggungjawab sebagai ketua atau yang memimpin.

 Kita (ahli IF90) pernah diberi amanah memegang tampuk pimpinan di asrama SMAPR (dah tak ingat berapa lama). Semoga apa yang telah kita lakukan, jalankan itulah yang terbaik. Sebenarnya besar sungguh dakwah yang disandarkan pada kita. Mungkin ketika itu kita masih 'kanak-kanak' untuk mengenal erti perjuangan, erti dakwah, erti melindungi, dan erti mendidik. Maafkan kami.

 Di sini, kami ingin mengucapkan ribuan kemaafan, ribuan terima kasih kepada ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah SMAPR yang banyak mendidik, warga SMAPR yang banyak membantu, serta adik-adik yang berada bersama kami sepanjang kami memegang amanah itu.

Kami ingin kongsikan sedikit buah tangan untuk kita bawa pulang dan jadikan ia sebagai satu cerita, satu pengalaman. Sesuatu yang menarik untuk dikongsikan bersama.

“Bising betullah abang-abang Form 5 di belakang itu” saya merungut.
“Asyik melepak dan buat bising. Lepas tu patah-patahkan tikar, buat semak. Kita juga yang kena sapu nanti” tambah Azman.
Kami para pelajar Tingkatan 1 berasa tidak puas hati. Bukankah sepatutnya kami mencontohi abang-abang itu. Salah satunya ialah dengan hadir awal ke Musolla dan duduk di saf hadapan. Biar kami di belakang-belakang menjadi makmum paling akhir.
Barangkali itulah namanya kejutan budaya. Kami masuk ke sekolah agama, semangat tinggi mahu menjadi baik serta melihat yang baik-baik. Sukar untuk menelan dan menghadam realiti bahawa tingkah laku para senior memeningkan. Buat bising, ponteng solat jemaah di Musolla, pasang lagu Rock Kapak kuat-kuat, buli adik-adik dan pendek kata, semuanya semak di pandangan mata.
Setiap hari ada gelora di dalam diri.
Kepala yang baru belajar mengenal serban, rasa berasap menahan kemarahan. Saya tidak pasti dengan orang lain, tetapi setiap hari saya tidak gembira memikirkan hal ini. Saya berazam untuk berhenti diam. Saya mesti bersuara. Sampai bila mahu memilih cara terlemah mencegah mungkar?
Setelah ikatan serban menjadi kemas, gulungan kain pelekat di dada sudah sempurna, bekalan cekal dan berani yang dikutip sedikit demi sedikit sudah mencukupi, saya nekad untuk bersuara.
MALAM ITU
Ogos 1988…
“Baiklah, itu sahaja tazkirah saya untuk malam ini, kita tangguhkan…!” kata-kata Abang Faizal menutup Tazkirah Isyak terhenti.
Saya menarik-narik bucu kain pelekat beliau.
“Kenapa?” Abang Faizal bertanya kepada saya.
“Ana nak cakap!” saya memberitahunya.
“Oh, sekejap ya. Ada budak Form 1 ini mahu bercakap” Abang Faizal memberi laluan kepada saya.
Saya nekad. Malam ini saya mesti bersuara. Meningkatkan satu tahap nahi mungkar dengan lisan. Saya menatap wajah kawan-kawan di saf depan. Manakala di saf belakang, senior Tingkatan 2 hingga ke 6 Atas membetulkan sila dan menumpukan perhatian kepada saya yang kelihatannya seperti mahu mencari masalah.
“Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakatuh. Saya meminta maaf kerana mengganggu masa anda semua. Nama saya Hasrizal dan saya adalah pelajar Tingkatan 1M. Dahulu, saya bersekolah di sekolah yang bercampur dengan murid pelbagai bangsa. Ada India, ada Cina, di samping Melayu seperti kebanyakan kita. Semasa di sekolah rendah, kami belajar agama sedikit-sedikit sahaja malah kawan-kawan Cina saya, tidak begitu peduli kepada soal agama. Tetapi amat menyedihkan, saya dapati pelajar Cina dan India di sekolah rendah saya, lebih baik tingkah lakunya berbanding kita pelajar di sekolah agama…” saya memulakan bicara.
Senior di belakang sudah kepanasan.
Ada yang membeliakkan mata dan mengepal penumbuk.
Saya hanya mengangkat sedikit pandangan untuk melihat mereka tetapi segera kembali kepada teks tazkirah di tangan. Takut!
“Sekolah Izzuddin Shah ini, disebabkan oleh perangai kita, ia menjadi seperti durian. Di luar nampak elok tetapi dalamnya berulat! Kita jadi seperti orang buta yang setelah diberikan tongkat, membuang tongkat dan jalan meraba. Saya sangat kecewa. Abang-abang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada kami, adik-adik Form 1. Abang-abanglah yang sepatutnya datang awal ke Musolla dan duduk di saf hadapan. Biarkan kami sahaja duduk di belakang untuk mengikut dan mencontohi abang-abang semua. Maaf kalau kata-kata saya tidak sopan. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim!” saya menamatkan ucapan.
“Woi, blah la! Macam bagus je. Siap la nko!” pelajar-pelajar senior sudah bersorak sorai di belakang.
Badan saya menjadi seram sejuk.
Kawan-kawan setingkatan bangkit mengerumuni saya.
“Tahniah Has! Bagus! Bagus! Padan muka mereka. Puas hati aku!” kata Abbas kepada saya.
“Terima kasih kerana menjadi jurucakap kami!” kata Aswan pula.
Tindakan nekad saya itu disambut baik oleh rakan setingkatan. Namun suasana di Musolla menampakkan sebaliknya. Saya mengambil masa yang panjang untuk keluar meninggalkan Musolla. Bimbang sesuatu yang tidak elok terjadi. Saya segera teringat kepada pesanan Luqman yang diajukan kepada anaknya:
“Wahai anakku, dirikanlah Solat. Dan perintahkanlah yang maaruf serta cegahlah kemunkaran. Juga hendaklah kamu bersabar atas apa yang pasti menimpa kamu. Sesungguhnya urusan itu memerlukan kepada seteguh-teguh keazaman” [Luqman 31: 17]
Saya sudah tahu tentang itu.
Namun malam ini saya belajar untuk merasainya.
Benarkah tindakan tadi? Patutkah diri rasa menyesal atas tindakan itu?
Pelbagai lintasan fikiran datang. Tetapi hanya satu sahaja yang pasti. Ia sudah berlaku! Maka saya tidak perlu memikirkan kewajaran tindakan itu. Sebaliknya apa yang penting ialah membuat persiapan terhadap tindak balas yang bakal berlaku. Apakah abang-abang itu insaf dengan teguran saya? Mentaliti seorang budak yang naif di usia 13 tahun, mengharapkannya. Tetapi ia jauh daripada kebarangkalian yang boleh diletakkan harapan.
Melintasi koridor daripada Musolla menuju ke asrama di Blok C, adalah seperti melintasi Titian Sirat! Saya resah melihat pelajar-pelajar Tingkatan 2 dan 3 merenung tajam ke arah saya.
“Habislah kau!” kata seorang pelajar Tingkatan 2.
Mukanya sangat menampakkan kebencian kepada saya.
Kaki terasa lemah. Saya berjalan longlai untuk sampai ke bilik.
MALAM BERPUAKA
Malam itu, seperti biasa kami ada Tazkirah di bilik masing-masing sebelum lampu dipadam untuk tidur. Semua pelajar Bilik C dan D di blok kami berhimpun di hujung dorm. Giliran Zaironi memberi tazkirah untuk malam itu. Tetapi kami semua tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengisian beliau. Terdengar bunyi hiruk pikuk di luar blok bagai ada kekecohan yang mengepung kami.
Zaironi memberhentikan tazkirah.
Kami semua mengendap di tingkap blok asrama.
Allahu Akbar!
Jantung saya seperti mahu terputus. Kelihatan ratusan pelajar berhimpun di keliling Blok C. Ada yang membawa kaki meja, ada yang membawa kerusi patah, besi katil dan macam-macam lagi. Semuanya menjerit marahkan saya.
“Mana budak Form 1 celupar tu? Keluar! Keluar!” mereka menjerit.
Saya berasa amat takut.
Demikian juga kawan-kawan yang lain.
Saya rasa begitu bersalah terhadap mereka kerana telah menyusahkan semua dengan tindakan ‘fikir singkat’ di Musollah tadi.
Saya masuk ke dalam kelambu, membuka Surah Yasin dan membaca ayat demi ayat mencari ketenangan dan kekuatan.
“Dummm!!!” pintu bilik kami dihempas.
Seorang senior Tingkatan 5 menceroboh masuk ke bilik kami. Saya kenal siapa beliau. Rambo! Itulah gelaran yang diberikan kepada beliau sesuai dengan keganasannya.
“Mana budak Form 1 kurang ajar tadi? Keluar!” beliau menyergah kami semua.
Saya sudah menggeletar. Air mata mula mengalir. Hanya kepada Allah saya berserah.
Tiba-tiba Abang Jamil muncul. Beliau adalah salah seorang daripada Pengawas yang menjaga blok kami.
Nko nak buat apa kat sini? Kalau nak tunjuk samseng, tunjuk dengan aku!” kata Abang Jamil.
Nko jangan masuk campur, Jamil! Ini bukan urusan nko. Ini antara aku dengan budak kurang ajar ni!” Rambo menunding jari ke arah saya yang sudah beliau cam.
“Ini memang urusan aku. Aku KP (Ketua Pelajar) di Blok C ini. Mereka semua di bawah jagaan aku. Ko apa hal nak tunjuk terror dengan budak Form 1?” Abang Jamil tegas.
Abang Mahdi dan Abang Azmi juga sudah datang.
Agak janggal saya melihat Abang Jamil, Abang Mahdi, Abang Azmi dan Rambo sama-sama berbalah sedangkan mereka setingkatan.
“Tak apa, malam ini nko selamat! Tapi tunggulah nanti!!!” Rambo mengherdik saya yang masih tunduk di dalam kelambu.
“Langkah mayat aku dulu. Macam bagus je nak belasah budak Form 1!” Abang Jamil ‘menghalau’ Rambo keluar.
KEHIDUPAN BERUBAH SELAMANYA
“Hasrizal, ikut kami. Tidur dalam bilik KP kalau anta nak selamat!” Abang Azmi memanggil saya.
Seperti budak bodoh, keperwiraan saya di Musolla tadi hilang. Saya bangun, mencapai kain pelekat dan bantal, melangkah ke bilik KP yang ada di sebelah dorm kami. Bermula malam ini, saya ditemani oleh Pengawas sepanjang masa. Dari asrama ke kelas, dari kelas ke dewan makan, dari dewan makan ke Musolla, saya sentiasa ditemani oleh salah seorang daripada pengawas yang ada. Semua orang tahu, hanya itu sahaja jaminan keselamatan untuk saya. Tanpa semua itu, saya mungkin menjadi mangsa buli yang boleh menumpahkan darah.
Tazkirah itu tidak memberi sebarang bekas kepada pelajar lain. Mungkin ia sudah dilupakan semua.
Namun ia adalah sejarah yang penting dalam hidup saya. Budak sekolah berusia 13 tahun yang baru bertatih menjenguk dunia.
Itulah detik pertama saya mengenal makna dan rasa di dalam sebuah perkataan bernama PERJUANGAN.
Ia sungguh memaksa diri menyegerakan dewasa. Saya mula masuk ke alam yang semakin terpisah daripada teman seusia.
Hidup bukan lagi permainan dan keseronokan.
Ia adalah perjuangan.

Tiada ulasan:

Followers